17 Dec 2011

White Toast


Hari ni saya nak berkongsi resepi roti putih (ada org menyebutnya roti sandwich atau roti paun ). Resepinya diperolehi daripada sebuah buku (Make Your Own Bread) yg dibeli berdekatan dgn kedai kawan baik saya di Sg Buloh. Biasanya roti yg dibeli dari kedai kita buang kulitnya, tetapi roti yg fresh dari oven kita sendiri kulitnya tulah yg menjadi rebutan. Tak sempat tunggu sejuk. Makan pulak dengan kari kambing. Tak nampak mak mertua lalu kat belakang. Betul tak?

Bahan-bahan

500g tepung roti
5g instant yeast
50g gula
10g garam
260ml air sejuk (dari peti ais)
65g butter atau marjerin
10g bread improver

Cara-cara

  1. Uli semua bahan dengan pengadun roti sehingga kenyal
  2. Letak doh dalam besin atau dulang. Tabur sedikit tepung dan jadikan satu doh yang bulat.
  3. Timbang 800g dan bagikan kepada 3 bahagian.
  4. Gelek doh dengan penggelek. Gulungkan dan masukkan ke dalam acuan roti khas.
  5. Biarkan doh kembang dua kali ganda (1 jam) 
  6. Tutup acuan dan bakar dalam oven 100C (panaskan oven 15minit dahulu)
  7. Bila roti dah masak, keluarkan segera roti.
  8. Kalau nak boleh sapu dengan butter cair semasa panas.

Tips :
-Kalau tiada mesin pengadun guna tangan aje la. Uli sehala.
-Kalau tiada acuan, gulungkan adunan selepas digelek.
-Letak dalam dulang yang telah disapu dengan butter.
-Kalau roti ni dah menjadi, boleh dipelbagaikan rasanya. Contoh :
 uli sekali dengan koko dan raisin atau labu lemak yang telah direbus dan dilecek.
 

Biasanya saya gandakan adunan ni jadi 1 kg. Dapatlah 2 loft roti + 1 yangg kecil (sebab dah lebih 800g)

1 Dec 2011

My First Cake

Resepi kek ni penuh dengan nostalgia. Resepi ini diajar oleh ibu mertua saya semasa anak-anak masih kecil lagi. Ada ke patut dia namakan nya kek ni kek 'bodoh'. Nak tau kenapa? Sebab orang yang tak pernah2 buat kek pun insyallah menjadi punya. Anak-anak gadis saya pun cakap buat kek ni lagi senang daripada buat jemput-jemput. Tak payah berdiri lama di tepi kuali sambil membalik-balikkan cekodok T.T. Walaupun berbagai jenis kek pernah saya, sesekali kek ini tetap manjadi permintaan keluarga saya. Yang menjadi nostalgia lagi, dulu-dulu setiap kali balik kampung di Asahan. Ibu mertua yang masih sihat ketika itu pasti akan menghidangkan kek ini panas-panas dari oven hitam cap kupu-kupu. Guna dapur minyak tanah lagi. Sehingga kini anak-anak, menantu dan cucu-cucu nya menyebut oven klasik tu sebagai 'obon itam' (oven hitam) Ini kerana nenek menyebutnya begitu. Ni lah resepi nya :

Bahan-bahan

2 cawan tepung gandum
1 tp bakin powder
1 tp soda bikarbonat
1 cawan gula
1 cawan marjerin / butter
1 cawan telur yang telah dipecahkan

Cara-cara


  1. Pukul mentega dengan gula guna pemutar elektrik sehingga berkrim.
  2. Masukkan telur sebiji demi sebiji dan ascent vanilla
  3. Masukkan tepung yang telah diayak dengan soda bikarbonat dan baking powder. Kacau dengan spatula cara kaup balik.
  4. Masukkan adunan ke dalam loyang yang telah disapu dengan marjerin atau butter dan diayakkan dengan sedikit tepung.
  5. Bakar 170 C hingga masak


Tips :
  • Kalau tak ada pemutar elektrik pukul guna senduk kayu je. Kacau sehala jangan lama sangat nanti kek kering.
  • Kalau guna tepung naik sendiri lagi senang. Takyah bubuh soda bikarbonat dan baking powder.

30 Nov 2011

Shepherd's Pie



Resepi kedua ni pun selalu jadi permintaan teman-teman dan menjadi kegemaran suami dan anak-anak saya. Resepi ini diperolehi daripada buku Popular Potato Recipes yang sekian lama saya simpan.







Bahan-bahan

500g daging kambing (cincang atau kisar)
2 bawang holland (cincang)
1 tbp minyak zaitun
1 tbp tepung
1 tomato tin / tomato puri
2 tp sos perasa (kalau ada)
1/2 cawan frozen peas
1 carrot (dadu)
1.3 kg kentang (rebus, kupas kulit dan lecek)
1/4 cawan sour cream (atau perahan limau nipis + 1 cwn susu)
Lada hitam (tumbuk)
Sedikit butter
Parutan cheddar cheese & parsley (kalau nak)


Cara-cara

  1. Tumis bawang dengan minyak zaitun hingga lembut.
  2. Masukkan daging kambing, kacau sehingga daging lembut.
  3. Masukkan tepung yang telah dibancuh dengan sedikit air.
  4. Masukkan tomato puri, sedikit air dan sos perasa.
  5. Masak sehingga lembut. Jangan lupa garam, gula dan serbuk lada hitam secukup rasa.
  6. Bila dah masak, masukkan ke dalam mangkuk caserol. Ratakan.
  7. Ratakan pula ke atasnya dengan kentang lecek yang telah dicampurkan dengan sour cream lada sulah dan sedikit butter.
  8. Tabur dengan cheese dan parsley. Bakar 15 minit atau sehingga kuning keemasan. Hidang dengan salad atau sayur-sayuran kegemaran anda.
Tips :
  • Kalau tak ada daun parsley boleh ganti sebarang herba asalkan tak pahit sudah lah..
  • Kalau suka pedas pandai-pandailah tambah cili dalam resepi ni.
  • Daging kambing boleh digantikan dengan daging lembu. Namanya bukanlah sheperd pie tetapi cottage pie.

Sweet Bun


Assalamualaikum. Alhamdulillah , atas permintaan teman2 akhirnya terhasillah blog ini. Selepas ini senanglah saya nak poskan apa2 resepi yg selalu menjadi kegemaran suami dan anak2 juga resepi yg diminta oleh teman2 semua ya. Sudah tentu resepi yg pertama untuk hari ini ialah bun manis yg saya pelajari di LMC Bakery , Sg Buloh lebih kurang 10 tahun dahulu. Nostalgia betul..Masa tu mesin pengadun rotipun tak ada lagi. Jadi uli secara manuallah jawabnya. Kalau berpeluh minta tolong anak2 lapkan sebab takut menitik jatuh ke adunan roti. Hinggalah pada suatu hari ada seorang chef yang baik hati tolong belikan mesin pengadun roti dan menghantarnya sendiri ke rumah. Padahal, chef tu sangat sibuk dengan kelas dan program televisyen. Hingga hari ini mesin tu masih digunakan. Dari bun, roti putih, kek, bahulu, kek lapis hinggalah kepada karipap, roti canai, puri dan apam balik. Berjasa betul mesin tu..

Jadi, sesipa yg nak resepi bun yg asas ni terimalah ya :)

Bahan-bahan

1 kg tepung protein tinggi
10 gm bread improver
100 gm gula
24 gm instant yeast
30 gm ke 50 gm susu tepung
15 gm garam halus
2 bj telur
160 gm marjerin atau mentega
500 gm air sejuk ( dari peti sejuk )

Cara-cara
  1. Gaul sebati 6 bhn yg pertama dlm mangkuk pengadun. Adun menggunakan hook khas untuk menguli roti.
  2. Masukkan air dan telur. Uli lagi hingga jadi doh yg kasar.
  3. Masukka mentega. Uli sehingga jadi doh yg elastic.
  4. Taburkan tepung roti atau tepung gandum dalam tray atau meja khas untuk menguli.
  5. Uli dengan menggunakan tangan sekejap jadikan satu doh yg bulat.
  6. Potong guna pemotong khas roti kepada berapa besar yg disukai. Bentukkan ikut suka hati. Letak inti pun ikut suka hati. Biar lebih kurang 45 min ke 1 Jam di dalam dulang pembakar. Jangan lupa brush dgn telur yg telah dipukul sedikit. Kalau nak letak topping masa ni lah. Bakar api atas bawah suhu 180°C  hingga masak.  
Tips :
  • Kalau tak ada mesin, uli guna tangan cara sehala.
  • Kalau tak ada cutter guna pisau biasa aje, tetapi jangan dicubit-cubit dengan tangan.
  • Kalau dah biasa buat sweet bun ni, pelbagaikan lah roti anda, contohnya campurkan dengan labu lemak yang telah direbus dan dilecek,kentang lecek, parutan carrot, koko dan raisin dll.
  • Cadangan filling
  • : inti kelapa, sardin, cream, custard, jam, daging dll.
  • Cadangan topping
  • : mixed vege, cheese, mayonis, mixed fruit , capucino cream, custard, cream style corn dll.
  • Kalau tak larat nak buat kecil2, buatlah besar mana pun. Lepas masak potong lah kecil2. Janji sedap. Hehe. Yang penting masaklah dengan penuh kasih sayang. Betul tak...